Perjuangan
islam kita
Islam dan jihadi
Bismillahirahmanirahim…
Assalamualaikum
w.b.t…
Firman Allah dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قالت إن الملوك إذا دخلوا قرية
أفسدوها وجعلوا أعزة أهلها أذلة
وكذلك يفعلون
Maksudnya: Sesungguhnya raja-raja apabila mereka masuk menakluki sesebuah negara maka
mereka merosakkannya dan meletakkan golongan mulia di tempat yang hina dan
demikianlah mereka bertindak.
Kelemahan dan
kemunduran umat Islam pada hari ini akibat sikap kita sendiri yang banyak
mengenepikan segala yang dianjurkan oleh Allah S.W.T dan rasulNya melalui
al-Quran dan hadis nabi s.a.w terutama dari segi budaya ilmu, kesungguhan dalam
berkerja dan disiplin ketika bertindak. Kita dapat lihat bagaimana
berkembangnya budaya ilmu dan kesungguhan serta disiplin dalam bekerja telah
meletakkan tamadun kebendaan barat begitu pesat maju sedangkan dunia barat
sebelum ini jauh terbelakang berbanding tamadun Islam itu sendiri.
Runtuhnya khilafah Islam Turki akibat terpedayanya umat Islam
pada masa itu dengan laungan kemajuan material barat sehingga mereka sanggup
meruntuhkan suatu yang berharga telah menyebabkan umat Islam sampai sekarang
terus terkapai-kapai mencari kemajuan material untuk turut bersaing dengan
barat sedangkan dalam masa yang sama tamadun rohani yang dipertahankan oleh
umat Islam semakin luntur dihakis oleh budaya mementingkan nafsu daripada
wahyu.
Perancangan yang licik oleh musuh Islam telah menyaksikan
bagaimana keruntuhan system khilafah telah digunakan semaksima mungkin dalam
menghancurkan kesatuan umat Islam disamping merompak sebanyak mungkin ilmu yang
dihasilkan oleh tamadun Islam yang kemudiannya dibuang ruh Islam daripadanya
sehingga tamadun kebendaan barat kosong daripada tamadun rohani.
Betapa malangnya umat Islam bukan sekadar ditipu oleh barat yang
mendakwa bahawa kebanyakan ilmu itu merupakan hasil mereka sendiri malah umat
Islam terus menerima ilmu itu tanpa dihidupkan semula ruh Islam sehingga umat
Islam turut menjadi hamba kepada tamadun kebendaan dengan mengenepikan tamadun
rohani. Akhirnya umat Islam terus tertinggal dari segi tamadun kebendaan dan
mula mengalami kemerosotan dari segi tamadun rohani akibat kealpaan kita
sendiri.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Sudah
menjadi suatu agenda penting kepada sebarang penjajahan iaitu memastikan setiap
negara dan rakyat yang dijajah mesti terus dikuasai agar mereka tidak bangkit
menentang penjajah. Begitulah nasib yang menimpa hampir keseluruhan negara umat
Islam di mana mereka hanya merdeka dari segi pertukaran kepimpinan tetapi perlembagaan serta pemikiran umat Islam terus
terjajah sehingga ramai di kalangan kita lebih suka berada di bawah system
penjajah daripada kembali menggunakan system Islam.
Penjajahan perlembagaan dan pemikiran ini adalah lebih merbahaya
apabila ramai di kalangan umat Islam terpedaya sehingga semangat dan kesedaran ke arah menentang kesesatan
system jahiliah yang bertentangan dengan Islam semakin menurun akibat tidak
dapat membezakan antara kebenaran dan kesesatan, antara iman dan kufur, antara
Islam dan jahiliah. Namun begitu setiap kesesatan pasti akan berhadapan dengan
kebenaran di mana bangkitnya para ulama’ akhirat bersama pejuang Islam yang
ikhlas berjuang dalam mempertahankan kemurnian Islam serta berusaha menukarkan
system jahiliah kepada Islam.
Pertembungan antara pemimpin umat Islam yang terus
mempertahankan perlembagaan dan system penjajah dengan rakyat yang
bersungguh-sungguh memperjuangkan system Islam telah mencemaskan kuasa besar
kuffar yang menyebabkan mereka bersungguh-sungguh berusaha dalam melemahkan
umat Islam daripada bangkit memperjuangkan Islam. Pelbagai cara digunakan oleh
kuasa besar kuffar samada dengan kekuatan mereka sendiri dalam melakukan
keganasan terhadap umat Islam sebagaimana penjajahan baru di
Afghanistan , Iraq
serta keganasan di Palestin, Kashmir , Chechnya , Selatan Filiphina, Ambon, Acheh,
Selatan Thailand
dan sebagainya.
Musuh turut menekan pemimpin umat Islam yang kebanyakannya
merupakan anak didik mereka agar turut menyiksa dan menyekat kebangkitan umat
Islam. Pertembungan antara pemimpin yang meletakkan nafsu lebih mulia daripada
wahyu dengan pejuang Islam yang mempertahan serta memperjuangkan Islam terus
berlangsung sehingga datangnya ketentuan daripada Allah. Renungilah sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud :
قَالَ الرَّسُوْلُ e : اَلا إِنَّ
الإسْلامَ دَائِرَةٌ فَدُوْرُوْا مَعَ الإسْلامِ حَيْثُ دَارَ . اَلا إِنَّ
السُّلْطَانَ وَالقُرْءَانَ سَيَفْتَرِقَانِ فَلاتُفَارِقُوْا الكِتَابَ
اَلاسَيَكُوْنُ عَلَيْكُمْ اُمَرَاءَ مُضِلُّوْنَ اِنْ اَطَعْتُمُوْهُمْ اَضَلُّوْكُمْ وَإِنْ عَصَيْتُمُوْهُمْ
قَتَلُوْكُمْ قَالُوْا : مَا نَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ : كَمَا اَصْنَعَ
اَصْحَابُ عِيْسَى نَشِرُوْا بِالمَنَاسِيْرِ وَهُمْ يُصْلَبُوْنَ عَلَى الخَشَبِ
فَوَ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَمَوْتٌ فِى طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِّنْ
حَيَاةٍ فِى مَعْصِيَةِ اللهِ عَزَّوَجَلَّ
Maksudnya : Ingatlah bahawa Islam itu berputar maka berputarlah kamu bersama
Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawa pemerintah dan al-Quran akan
berpisah maka janganlah kamu berpisah dengan al-Quran. Akan muncul di kalangan
kamu pemimpin yang menyesatkan. Jika kamu taati mereka maka mereka akan
sesatkanmu dan jika kamu menentang mereka maka mereka akan membunuhmu. Para sahabat bertanya : “ Apa yang harus kami lakukan
wahai Rasulullah?”. Sabda baginda : “ Lakukanlah sebagaimana sikap para sahabat
nabi Isa di mana mereka digergaji dan disalib di pokok kayu. Demi Allah yang
diri Muhammad ditanganNya maka mati kerana mentaati Allah lebih baik daripada
hidup dalam mengingkari Allah.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Kebangkitan rakyat yang cintakan Islam terus berlangsung walau
pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai tindakan kejam daripada pemimpin. Tidak
terkecuali di negara kita apabila kecenderongan ke arah mengembalikan semula
system Islam cuba
disekat dengan pelbagai cara. Bagi meredakan kebangkitan Islam lalu terciptalah
istilah Islam Hadhari di mana dari segi istilah pun sudah ada kesilapan
seumpama memanggil keretapi dengan api kereta.
Sepatutnya jika mengikut istilah arab digunakan Hadhorah
Islamiah yang bermaksud kemajuan atau tamadun berasaskan Islam sebagaimana
usaha para ilmuan Islam sebelum ini yang telah mengislamkan banyak ilmu
daripada tamadun Yunani, Rom dan sebagainya sehingga terbinanya suatu tamadun Islam
yang selari antara kebendaan dan rohani. Apabila istilah Islam Hadhari
digunakan maka dari segi istilahnya secara zahir telah bercanggah dengan aqidah
Islam kerana memisahkan antara Islam dan tamadun serta Islam terpaksa mengikut
acuan tamadun samada barat atau
selainnya bukannya tamadun yang mesti mengikut kehendak Islam.
Sebenarnya istilah seperti ini yang memisahkan Islam dengan
tamadun atau memaksa Islam tunduk kepada kehendak kemajuan bukanlah suatu
istilah dan seruan yang baru kerana ia pernah dilaungkan oleh tokoh yang
terlalu mengagungkan tamadun kebendaan barat termasuk Bapa Peruntuh Khilafah
iaitu Mustafa Kamal at-Tartuk. Mustafa Kamal semasa melaungkan kemajuan tidak
menyatakan bahawa beliau mahu menghancurkan khilafah dan Islam malah beliau
turut mempergunakan ulama’ dalam menghalalkan cita-citanya.
Inilah yang bakal dihadapi oleh kita jika terlalu terpesona
dengan Islam Hadhari terutama apabila melihat kepada tiada sebarang perubahan
besar kepada dasar negara terutama yang melibatkan pembinaan tamadun rohani.
Program hiburan dan maksiat semakin meluas dalam merosakkan rakyat sedangkan
program tarbiah semakin tertekan. Malah melalui Program Latihan Khidmat Negara
terus menyediakan program yang hanya menekankan kekuatan fizikal dengan terabainya
pembinaan rohani.
Penjenayah dilayan jauh
lebih baik daripada rakyat terutama umat Islam yang ditahan di bawah kezaliman
ISA. Pergantungan kepada hasil haram terutama judi dan arak terus berlangsung. Islam Hadhari tidak lebih daripada slogan untuk menunjuk-nunjuk
syiar tanpa melaksanakan syariat Islam. Islam Hadhari bertujuan melemahkan
semangat jihad dalam mengagungkan Islam kepada memuja tamadun kebendaan barat.
Islam Hadhari bermatlamat melahirkan umat Islam yang lebih takut kepada ancaman
musuh daripada bertaqwa kepada Allah S.W.T. Islam Hadhari Islam hendak
menghasilkan masyarakat yang hanya melaksanakan system Islam yang mudah serta
sentiasa beralasan apabila ditekan agar melaksanakan system Islam yang tidak
selari dengan nafsu mereka.
Islam Hadhari mahu melahirkan umat yang lena diulik dengan
kekayaan bukannya melahirkan manusia kaya jiwa dan harta dalam memperjuangkan
Islam. Ingatlah kita bahawa kemajuan tanpa mengikut acuan Islam tidak membawa
umat kepada kemuliaan sebaliknya kita akan terus diselubungi dengan kemunduran
dan penghinaan yang tidak berkesudahan. Oleh itu marilah kita membina kembali
tamadun Islam bukannya memaksa Islam mengikut kehendak kemajuan.
Firman Allah dalam ayat 186 surah Ali ‘Imran :
لتبلون فى أمولكم وأنفسكم ولتسمعن من الذين أوتوا الكتب من قبلكم
ومن الذين أشركوا أذى كثيرا وإن تصبروا وتتقوا فإن ذلك من عزم الأمور
Maksudnya : Kamu benar-benar akan diuji pada hartamu dan dirimu. Dan juga kamu
benar-benar akan mendengar daripada mereka yang diberikan Kitab sebelum kamu
dan daripada mereka yang menyekutukan Allah, gangguan yang banyak yang
menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang
demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي
وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ
مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ
اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ
وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Wassalam…
0 comments:
Post a Comment